16 February 2012

Buku Cinta 3 Rasa



Cinta 3 Rasa terbahagi kepada tiga bahagian iaitu resipi cinta suami isteri, duhai anak, dan hati hamba. Resipi cinta suami isteri , menyentuh tentang kerukunan, hubungan dan komunikasi suami isteri. Peranan seorang isteri dalam membentuk rumah tangga. Duhai Anak, mengupas peranan wanita sebagai seorang ibu dalam m membentuk sahsiah anak-anak khasnya anak perempuan agak tampil menjadi seorang muslimah sejati. Hati Hamba ,menjurus kepada hubungan hati wanita sebagai hamba dengan Tuhan. Menyentuh tentang muhasabah diri wanita, juga berkaitan dengan soal fiqah wanita dan hubung kaitnya dengan Allah. Turut disisipkan pandangan dan nasihat kepada isteri-isteri yang mengadu kepada penulis tentang masalah yang dialami.


Bab 7 : Mari Belajar Memasak Bersama Suami
Suatu petang, usai menikmati hidangan hasil air tangan saya, suami tercinta member beberapa tip. Nanti! Jangan terus beralih mata. Terus membaca sehingga penghujung cerita.
“Emm,,,rasa-rasanya tajuk ini tidak berkaitan dengan saya, saya masih bujang trang tang tang lagi,” mungkin itu telahan awal yang terfikir di minda. Senyum sendiri agaknya si anak dara.
“Suami saya tidak pandai memasak, bagaimana pula dia hendak mengajar saya?” soalan kedua pula menyusul tiba-tiba. “Ada faedah?” Ekor soalan masih berbaki di kepala.
“Suami saya boleh dan pandai memasak, tetapi dia sibuk. Susah hendak cari masa belajar memasak bersamanya,” luah yang ketiga.
Cukup, cukup. Belajar memasak bersama suami tidak perlukan kemahiran memasak. Juga boleh dilakukan bila-bila masa. Cuma, ia memerlukan kerjasama, faham-memahami dan sikap tidak putus asa. Tidak percaya?
Suami saya juga tidak mahir memasak. Bukan bidang beliau. Walaupun begitu, saya mengaku, cekodok ikan bilisnya lebih sedap berbanding dengan yang saya buat. Tidak perlu saya cerita, akan tetapi saya banyak belajar memasak daripadanya.
Kami disatukan ketika ibu saya dan ibu suami telah tiada di alam ini. Takdir Ilahi, saya tiada rujukan kedua-dua ibunda tersayang. Namun kekurangan ini ditampung dengan sikap suami yang sentiasa member kritikan terhadap hasil air tangan saya.
“Lain pula pandangan abang dengan ustaz-ustaz lain ya,” bicara saya pada suatu petang sambil makan cekodok ikan bilis air tangan suami.
Biasanya dalam ceramah, tentu mereka menganjurkan supaya suami memuji masakan isteri. Bimbang, rajuk isteri, tidak mahu memasak lagi,” tambah saya.
“Itu betul, sedap perlu dipuji. Tetapi yang tidak betulnya, puji tidak bertempat. Asyik ingin mengambil hati sehingga lambat-laun memakan hati sendiri. Apa yang kurang harus disebut, supaya kemahiran isteri dapat dipertingkatkan. Hasilnya, masakan makin sedap, pujian suami tentu lebih kerap,” suami menjawab bercampur galakan.
“Kritikan suami berisi. Jangan hanya masam, masin dan manis sahaja; tetapi pekat atau tidak kuah yang dijamah, rempah yang kurang atau perlu ditambah, juga masuk dalam senarai kritikan. Baru isteri tahu mana yang perlu diperbaiki. Ringkasnya, suami juga mesti tingkatkan kemahiran ‘merasa’ supaya kena caranya,” tambah suami memberi ‘tip’ bagaimana teguran yang sewajarnya diberi.
Penjelasan tadi ada logiknya. Seorang isteri yang sentiasa mengharapkan pujian suami terhadap semua masakannya, sedap atau sebaliknya; tidak aka nada peningkatan diri. Isteri yang bijak akan menjadikan kritikan suami sebagai motivasi untuk mempertingkatkan kebolehan diri. Apa yang kurang ditambah, apa yang lebih dikurangkan.
Suami yang menyayangi isteri akan sentiasa bersedia menjadi pengkritik setia, supaya masakan isteri bertambah baik dan sedap. Sedap hakiki bukan hanya sedap di lidah. Justeru nanti ia akan dijamah keluarga, tetamu juga sanak saudara. Lebih elok pula, kritikan diberi dalam bentuk santai dan jenaka. Hati isteri tidak terasa, jiwa isteri rasa bahagia. Tanda suami menghargai susah payahnya menyediakan juadah.
Jika ada luang masa, bawa isteri membeli buku atau majalah pelbagai resipi. Tentu semanga isteri akan bertambah untuk menyediakan makanan buat keluarga tercinta. Mudah bukan, belajar memasak bersama suami? Anda bagaimana?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...